Sabtu, September 19, 2009

~~** Selamat Hari Raya & Jemputan Walimatulurus **~~

Muka depan

Jemputan

Lokasi majlis muslimat

Lokasi majlis muslimin


Assalamualaikum wrt wbt

Alhamdulillah, pujian hanya kepada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan penuh rasa kesyukuran ke hadrat Illahi, kami menjemput sahabat/sahabiah hadir ke Walimatul Urus:

AHMAD KHAIRUDDIN BIN AHMAD KAMAL
&
NURULLAINY BINTI MAT RASHID

Butiran majlis seperti berikut:

Majlis di Rumah Pengantin Perempuan :

Hari/Tarikh : Sabtu, 31 Oktober 2009 bersamaan 12 Zulkaedah 1430H

Aturcara : 10 Pagi - Akad nikah

11 pagi – 6 petang - Jamuan

Alamat Rumah : Lot 3776, Jalan Merbok, Kampung Seri Cheding, 42700 Banting, Selangor


Majlis di Rumah Pengantin Lelaki :

Hari/Tarikh : Sabtu, 7 November 2009 bersamaan 19 Zulkaedah 1430H

Aturcara : 11 pagi – 6 petang - Jamuan

Alamat Rumah : 102-A, Kampung Surau Hj. Mat Zin, Bukit Payong, 21400 Marang, Terengganu


Doakan baitul muslim yang bakal dibina menjadi sebuah keluarga sakinah yang penuh mawaddah, rahmah dan mahabbah serta melahirkan generasi masa hadapan yang memberi manfaat kepada umat seluruh dunia.

JazakamuLLAHu khairan kathira


Isnin, September 14, 2009

Hadiah Ramadan Buatku


Salam Paka,

Syukur kepada Allah s.w.t. kerana memberikan ruang untuk saya bertapak hingga ke malam ke 25 Ramadan pada hari ini. Sesungguhnya, Allah s.w.t. adalah sebaik-baik perancang yang mengatur kehidupan saya dengan cukup indah. Segala susah payah, penat lelah, dugaan dan musibah, Engkau gantikan dengan sesuatu yang paling bermakna dalam hidupku.

Sejak kecil saya selalu berpisah dengan emak. Ketika saya berumur 5 tahun, emak dan abah saya berpisah. Saya dibawa oleh abah untuk tinggal bersamanya. Tidak lama selepas itu, saya kembali tinggal dengan emak saya sehingga bersekolah ke darjah satu. Oleh kerana ingin menampung perbelanjaan anaknya, emak saya mula bekerja kilang di Mercang yang jaraknya 45 minit perjalanan dari rumah dengan menaiki van kilang. Semua ini berlaku ketika saya bersekolah di darjah 2, berumur 8 tahun. Dengan pendapatan rm300 sebulan, emak menyara saya bersama dengan abang dan adik. Kalau diikutkan, emak adalah yang paling manja diantara adik beradiknya. Sehingga tidak mahu ke sekolah dan digelar buta huruf ketika itu. Tetapi ada sesuatu pada emak saya iaitu ketabahan. Daripada seorang yang manja, emak berubah menjadi seorang ibu tunggal yang cekal dan gigih.

Saya masih ingat ketika bersekolah dulu, saya selalu marahkan emak kerana bekerja lebih masa untuk mendapatkan wang lebih. Saya merungut kerana masa emak bersama saya sangat sedikit. Lebih-lebih lagi, ketika hari minggu, abah akan membawa saya ke rumahnya. Saya cuma mempunyai masa pukul 6 pagi hingga 7 pagi pada ahad hingga khamis, dan 6 petang ke 10 malam pada waktu malam. Hari minggu tidak bersama. Lebih-lebih lagi, ketika saya menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh, saya pernah berkata, duduk di sekolah lebih baik dari duduk di rumah kerana kalau balik pun, emak tiada di rumah oleh kerana emak bercuti pada sabtu dan ahad manakala saya bercuti pada jumaat dan sabtu. Itupun hari sabtu emak bekerja lebih masa. Emak hanya diam dan menasihatkan saya,"Khairul kene belajar bersungguh-sungguh, mak tak reti nak ajar bab sekolah ni, mak cume boleh kerja cari duit untuk tampung perbelanjaan Khairul".

Selepas itu saya melanjutkan pelajaran ke universiti. Pada tahun pertama saya balik cuti semester, tahun kedua saya dah mula jarang-jarang, tahun ketiga dan seterusnya, hanya kadang-kadang saya balik kampung. Alasannya mudah, saya bosan di rumah.

Saya adalah seorang yang bersifat bercita-cita tinggi. Asyik nak belajar dan kerja di seberang laut, maklumlah saya jarang dirumah. Allah itu Maha Berkuasa, saya mendapat pekerjaan di Terengganu. Kalau diikutkan saya lebih berminat bekerja di Kuala Lumpur. Oleh kerana rumah saya dekat saya sering balik kampung. Lebih-lebih lagi emak saya terpaksa berhenti kerja kerana menjalani pembedahan di rahim. Mujur penyakitnya dikesan di peringkat awal.

Oleh kerana saya sering balik kampung, maka saya dapat selalu berjumpa emak. Kemudian saya terkenang kembali zaman kecil-kecil saya. Ketika berumur sebelum 5 tahun, saya tidak dapat mengingat apa yang berlaku. Setelah itu, konflik rumahtangga berlaku anta emak dan abah saya. Bermula saya berumur 8 tahun sehingga saya berumur 23 tahun, emak saya bekerja bersungguh-sungguh untuk menyara anak-anaknya sebeleum berhenti kerana pembedahan. Kini, saya baru dapat merasai kasih sayang ibu setelah sekian lama. Maafkan saya emak, jika saya tahu bertapa peritnya emak menyara saya dahulu, saya tidak akan berbuat seperti dulu lagi.

Oleh kerana emak hidup berseorangan sebagai ibu tunggal, emak tidak mempunyai pertolongan dari segi jasmani, rohani dan agama. Sedikit demi sedikit saya menjelaskan kepada emak tentang Islam yang sebenar termasuklah kenapa PAS itu wujud makin membuahkan hasil, dan setiap kali solat saya berdoa,"Ya Allah, berikanlah hidayah kepada ibuku, bapaku, datukku, nenekku, keluargaku, sanak saudaraku, kaum muslimin dan muslimat untuk kembali kepada Islam yang sebenar," bukan Islam sekular yang dibawa oleh UMNO dan Barisan Nasional. Cuma, bab hidayah ini, hanya Allah yang berhak memberi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, termasuklah emak saya.

Tanggal 21 Ramadan tahun ini, saya berdoa ketika berbuka, solat malam, dan selepas solat doa yang sama. Allah Maha Adil, Maha Pengasih, Maha Penyayang. Ketika selepas bersahur, emak memanggil saya,"Khairul nak solat Subuh ke, jom la solat bersama". Allah sahaja mengetahui perasaan saya ketika itu. Sesungguhnya inilah hadiah Ramadan paling bermakna buat saya. Semenjak itu, kami akan solat Maghrib dan Subuh bersama. Lebih manis lagi, emak semakin hampir dengan perjuangan PAS. Emak bersama muslimat di surau PAS di kampung saya bergotong royong untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama orang-orang kampung.

Sekarang, emak sangat dihormati dan diikuti oleh sanak saudara sebagai seorang ibu yang agak berjaya dikalangan yang lain. Berjaya membesarkan 3 orang anak, abang dan saya telah bekerja dan menunggu seorang adik yang akan menghabiskan ijazah 3 tahun lagi.

Dari seorang yang buta huruf, emak menjadi serikandi yang amat aku sayangi. Terima kasih Ya Allah yang tuhan kami, engkaulah yang memiliki hati ini, istiqamahkan lah kami dalam agama Mu, pertemukanlah kami dengan syurga Mu.

Baru kini saya merasai kasih sayang seornag ibu..

Jumaat, Ogos 07, 2009

Jemaah rasmi dan pendakwah bebas


Sempena persembahan Sauadar Azhan Atan dan Kumpulan Nasyid FIkrah di Malam Kembara Iman anjuran MTD Pemuda PAS Paka

Salam Paka,

Saya ada menerima satu soalan dari seorang pengunjung di blog saya dan saya rasa soalan beliau agak menarik untuk kita sama-sama menelaah sebagai jawapan kepada pada mad'u kita.

Soalan:

Saya ada soalan mengenai kewajipan menyertai jemaah. hm.. Bila dikatakan wajib sertai jemaah, adakah yang dimaksudkan 'jemaah' itu organisasi yg official? ataupun 'jemaah' tu bermaksud semua umat Islam dlm dunia ni yg menjalankan tanggungjwb dakwah kita?

Sbg contoh, ada juga pendakwah bebas yg bukan dari mana2 organisasi tp mereka bersungguh2 dlm berdakwah.. Mereka masih contribute dlm kerja2 dakwah secara keseluruhan di bumi ini. Cuma mereka tidak melibatkan diri dlm mana2 organisasi dakwah secara official.

Jawapan saya:

Wa'alaikumussalam,

Pertama-tamanya saya ucapkan tahniah & terima kasih di atas soalan yang dikemukakan.

Jemaah itu secara kasar diterjemahkan secara berkumpulan. Untuk menegakkan agama Islam, mahu atau tidak mahu, suka atau tidak suka mestilah berkumpulan. Apabila berkumpulan, mestilah ada pemimpin, adab-adab berjemaah dan dasar serta perinsip. Sebagai contoh, semua negara ada syarikat minyak. Shell di Belanda, Esso di US, Petronas di Malaysia. Semua itu adalah syarikat minyak atau dengan kata lain untuk seluruh dunia. Akan tetapi di Malaysia, Petronas paling arif di tempatnya kerana die adalah syarikat rasmi di Malaysia. Begitu juga jemaah. Ikhwan Muslimin di Mesir, PKS di Indonesia, AKP di Turki, semuanya berdakwah untuk Islam. Akan tetapi, untuk melakukan gerak kerja Islam, mesti ada satu jemaah rasmi seperti yang di jalankan oleh PAS sekarang dalam konteks untuk Malaysia.

Untuk soalan kedua, tiada istilah pendakwah bebas dalam Islam, mesti berjemaah. Kalau dulu Rasulullah saw pendakwah bebas, kenapa Rasulullah memerlukan Abu Bakar, Umar, Usman, Ali, Muhajirin dan Ansar? Cukuplah Rasulullah berdakwah sendirian secara bebas seperti Warakah bin Naufal, seorang ahli kitab pada zaman Rasulullah. Lagipun, kalaulah misalnya si A ni pendakwah bebas, kalaulah dia ada pengikut, tiba-tiba si A meninggal, pengikut-pengikutnya mahu ikut siapa? Adakah semua akan sesat? Kalau kita berjemaah, kalau pemimpin meninggal, jemaah tetap ada. Dasar perjuangan tetap ada, cuma baton bertukar tangan. Kita bukanlah pemula atau pengakhir perjuangan, tapi kita adalah mata rantai yang menyambung perjuangan.

Sebab itu Rasulullah melarang kita menyebut hidup Muhammmad kerana Muhammad akan mati akan tetapi menyebut hidup Islam kerana Islam akan berterusan sehingga kiamat. Bagi PAS, bukanlah hidup Nik Aziz atau hidup Haji Hadi, tetapi PAS adalah jemaah yang membawa baton untuk menegakkan Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya.

Wallahu'alam

Selasa, Jun 23, 2009

PAS tidak akan jatuh selagi Allah menjaganya



Salam Paka,

Syukur ke hadrat Allah s.w.t. segala musibah yang menimpa parti kesayangan kita ini sudah berakhir. Ingatlah, ini semua merupakan tarbiyah secara langsung kepada ahli-ahli PAS daripada Allah s.w.t. Allah berhak mengatur asam garam dalam perjuangan untuk menjadikan jemaah kita semakin menghampiri kemenangan yang pasti. Perjuangan kita perjuangan yang ditapis setiap saat. Di situ terdapatnya bukti siapa yang akan bersama dengan kemenangan yang mutlak dan siapa yang tergolong dalam kalangan orang-orang munafiq.

Cara pimpinan menangani permasalahan juga wajar dicontohi ahli gerakan kita ini. Banyak pengajaran yang boleh diaplikasi oleh setiap ahli parti. Sifat mereka yang matang menangani konflik tanpa melatah menunjukkan pimpinan PAS mempunyai daya pemikiran yang berlandaskan nas serta mempunyai hujah yang konkrit.

Mari kita merapatkan saf dan membina kubu bagi menghadapi musuh, tidak kiralah dalam selimut atau luar selimut.

Isnin, Mac 23, 2009

Bukit Gantang, tanah Islam yang perlu di pertahankan!


Salam Bukit Payong,

Alhamdulillah, berkat kudrat dan iradatnya, saya masih berpeluang untuk hidup di bumi pinjaman Allah ini. Lebih-lebih lagi saya berpeluang untuk menulis setelah sekian lama berusaha untuk mencaru ruang untuk menulis. Dan, yang paling penting, saya masih dapat memberi sumbangan kepada perjuangan Islam yang panjang yang sentiasa menagih peluh, keringat dan airmata para pendokongnya, walau tidak sehebat perjuangan di Palestin yang menagih darah serta airmata para pejuangnya, perjuangan membebaskan walau seinci bumi umat Islam dari penaklukan negara haram Israel laknatullah.

Berbicara mengenai perjuangan mendaulatkan tanah air atau bumi untuk kemenangan Islam, scenario yang sama seolah-olah juga berlaku di negara kita tidak lama lagi. Semua sudah maklum bahawa pilihanraya kecil Bukit Gantang akan berlangsung pada 7 April 2009, bagi memberi ruang kepada Perhimpunan Agong Umno. Dengar kata seperti kebetulan kata SPR, bagi ideologi demokrasi syirik yang rosak di Malaysia, kita tidak terkejut. Tiada hukum yang adil di dunia ini kecuali hukum Islam. Bawa sebanyak mana kosmetik ideologi termasuk komunisme, sekularisme dan kapitalisme, semuanya membawa kepada keruntuhan. Cuma bagi kita Pas, kita menganggap demokrasi ini masih lagi boleh memberi ruang untuk kita mendapat kuasa, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

Apa tanggungjawab kita sekarang?

Sepertimana Sultan Murad mempertahankan Palestin dari golongan Yahudi yang menawarkan pelepasan hutang kerajaan Uthmaniyyah dan harta benda, seperti itu juga kita mesti mempertahankan tanah umat Islam di Bukit Gantang walau seinci daripada jatuh ketangan parti yang mengamalkan sekular hasil daripada ajaran dari bangsa Yahudi dengan menawarkan wang ringgit kepada pengundi-pengundi di sana.

Apa yang perlu kita buat?

Banyak kali saya ingin tekankan, cuma sedikit sahaja dikalangan kita yang mendokong Islam yang berdoa untuk umat Islam, berdoa untuk kemenangan Islam di Palestin, berdoa untuk kemengangan Islam di negara kita, yang berdoa setiapkali selepas solat untuk Islam kembali tertegak. Kerana kita sendiri hanyut dan tidak bersungguh-sungguh untuk kemenangan Islam. Pengorbanan harta dan jiwa untuk pergi kesana tidaklah perlu saya beritahu kerana setiap yang faham perjuangan Islam sudah lumat dihadam tentang perkara ini.

Wallahu’alam.

Demonstrasi, budaya orang yang yakin tentang perjuangan!


Salam Paka,


20. Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu Dengan berlari, lalu memberi nasihat Dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -


21. "Turutlah orang-orang Yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".


22. Dan (apabila ditanya: sudahkah Engkau menerima ugama mereka? maka jawabnya): "Mengapa Aku tidak menyembah Tuhan Yang menciptakan daku, dan Yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?


23. "Patutkah Aku menyembah beberapa Tuhan Yang lain dari Allah? (sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku Dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.


24. "Sesungguhnya Aku (kalau melakukan syirik) tentulah Aku pada ketika itu berada Dalam kesesatan Yang nyata.


25. "Sesungguhnya Aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)",.


26. (setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke Dalam Syurga". ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -


Ayat yang dipaparkan di atas berkisar tentang seorang pemuda yang berdemonstrasi untuk menyatakan keimanan di hadapan kaumnya. Walaupun sudah dilarang oleh nabi (kerana bimbangkan keselamatannya), pemuda tersebut tetap berdemontrasi kerana yakin ajaran yang dibawa tersebut adalah ajaran yang benar. Sehinggalah dia mati dan dia berkata alangkan bagus jika kaumnya mengetahui yang dia dibenarkan masuk mana-mana pintu syurga yang diingininya.


Segala perbuatan pemuda tersebut tidak akan terbit melainkan mempunyai dasar keimanan yang tinggi dan yakin bahawa perjuangan yang di bawanya adalah perjuangan yang benar. Sehingga beliau sanggup mati semasa berdemonstrasi kerana yakin ianya dibayar oleh Allah.


Ironinya, demonstrasi telah wujud sejak dahulu kala lagi. Ianya bukanlah perkara baru dan tidak pelik jika berlaku sekarang. Cuma, apabila berlaku perhimpunan aman PPSMI, saya disembur dengan gas pemedih mata berbotol-botol. Ramai budak-budak kecil yang turut sekali terpaksa menanggung kepedihan, beberapa mak cik-mak cik pengsan, termasuk beberapa pimpinan disembur ‘water cannon’. Hendak selamatkan diri juga tidak boleh kerana kami dikepung oleh FRU yang TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN. Kalau betul ingin menyuraikan, kenapa kami dikepung dan ditembak dengan gas pemdih mata? Permit telah diberi di Masjid Negara, tetapi tetap disembur dengan air kimia. Apa sebenarnya agenda kerajaan yang bahalol ini? Kerana kami yakin, seperti juga pemuda itu yakin, selagi itu kami akan tetap berdemonstrasi bagi memperjuangkan kemenangan kerana kami tagih janji SYURGA Allah itu.


Orang-orang Umno berdemonstrasi, jangankan nak tembak gas pemedih mata, FRU ini siap dirempuh seolah-olah bertemu dengan mak nyah yang ketakutan. Orang-orang Umno ni suka sangat baca Yasin, cuma mereka tidak tahu dalam surah yang dipanggil hati Al-Quran ini, terdapat kisah pemuda yang berdemonstrasi untuk menyatakan HAK dan menentan BATIL.


Cuma Umno ini ibarat orang dahulu kala yang membela hantu, apabila semakin dekat ajal, makinlah mereka meracau. Sebab itulah berlaku peristiwa krisis Perlembagaan di Perak dan pergolakan Mesyuarat Agong Umno yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Khamis, Februari 19, 2009

Warga emas hilang RM50,000



SAYU...Merah menunjukkan salinan laporan polis sambil
diperhatikan isterinya, Fatimah Bakar.

MARANG: Hanya kerana buta huruf, seorang warga emas, Merah Ismail, 77, tidak menyangka jiran dikenali sejak kecil sanggup mengambil kesempatan menipunya hingga kehilangan wang tunai RM50,000.

Merah berkata, lelaki berkenaan memujuknya berulang kali supaya meminjamkan RM50,000 bagi mengembangkan perniagaan dan mendakwa wang pelaburannya di luar negara tersangkut dan memerlukan modal pusingan.



“Dia kemudian bersama rakannya membawa saya ke bank dan meminta menurunkan cap jari pada borang untuk mengeluarkan wang simpanan RM50,000 dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).


“Waktu itu saya tidak syak apa-apa, malah bank pun tidak bertanya sebarang soalan dan saya hanya mengiakan apabila ditanya jumlah pengeluaran RM50,000. Dalam ‘surat perjanjian’ itu, kami sama-sama menurunkan tandatangan dan anak sulung saya yang juga ‘buta huruf’ turut menandatangan sebagai saksi,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Bukit Payung, di sini semalam.

Menurutnya, selepas beberapa kali bertanyakan wang dipinjamnya, lelaki berkenaan memberi pelbagai alasan.

Lebih menyedihkan lagi, apabila Merah yang berkerja sebagai tukang urut menanggung masalah itu sendirian kerana peristiwa itu dirahsiakan daripada pengetahuan tujuh anaknya.

Bagaimanapun, rahsianya itu terbongkar apabila dia memerlukan wang untuk menjalani pembedahan apendiks Ogos tahun lalu.

“Sebaik mengetahui hal itu, anak-anak memarahi saya dan bertanyakan macam-macam, tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana nasi sudah jadi bubur. Lagipun semua anak saya kenal lelaki berkenaan dan sering berjumpa.

“Kemudian anak-anak bersepakat membuat laporan polis pada Oktober tahun lalu dan menjadi kes mahkamah. Bagaimanapun, saya sedih dan tidak tahu kenapa hingga kini polis tidak mengambil sebarang tindakan,” katanya.


p/s:


1) Dipetik dari Akhbar Harian Metro, http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090219085852/Article/index_html


2) Kedua-dua ini adalah Datuk & Nenek saya. Saya harap sahabat-sahabiah sekalian dapat doakan kedua orang tua saya ini mendapat pembelaan, dan menang kes di makhamah nanti.

Persinggahan Seorang Pejuang

Salam Paka,

Artikel ini dipetik dari blog Ustaz Haji Nasrudin Tantawi

Persinggahan Seorang Pejuang

Perjalanan pulang dari Kota Bharu hari ini sangatlah memenatkan . Namun alhamdulillah , Hj. Khairil sedia dan setia untuk memandu .

Setelah singgah buat seketika di rumah Akhi Sabky Yusuf [ Jerteh - Padang Luas ] , kami terus meluncur laju ke Paka .

Sesekali saya terlelap setelah kehabisan modal berbual . Memanglah banyak yang kami bualkan sejak perjalanan semalam menuju Kota Bharu .

Topik perbualan biarpun tidak rasmi tetapi banyak tertumpu kepada persoalan masa depan perjuangan khususnya mengenai pergerakkan pemuda . Sambil berbual , biarpun bersahaja tentulah banyak pula idea yang dapat digarap dan dihasilkan . Tambahan pula , banyak sungguh mutiara kata yang dapat disunting dari perbualan singkat kami bersama Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz pagi tadi di pejabatnya .

Persinggahan di Paka.

Kesempatan dimanafaatkan sepenuhnya oleh Hj. Khairil lalu mendesak saya agar singgah pula sebentar di Paka untuk memberi sedikit pengisian kepada anak usrahnya . Saya berbesar hati justeru diberi penghormatan dan kepercayaan untuk memberi pengisian , namun memikirkan jasad yang kian kurang upaya terasa berat sekali untuk memenuhi permintaannya .

Oleh kerana sifatnya bukan lagi permintaan tetapi desakan , saya hanya mampu akur lalu singgah solat maghrib di Paka dan selepasnya memberi pengisian kepada anak usrah beliau .

Sebaik saja bertemu mata dan bersalam mesra dengan anggota usrah beliau yang rata - ratanya masih muda belia . Saya jadi naik semangat lantas melupakan kepenatan yang dirasai.

1 jam lebih kurang saya ambil masa memberi pengisian , saya segera pulang tanpa lengah keranan bimbang lewat malam dan ianya membuatkan saya sukar untuk memandu kerana mengantuk . Salah seorang anak usrah mereka menemani saya pulang ke Kuantan . Jazakumullah .

Buat semua anak usrah Hj. Khairil , saya harap mereka tidak lupa apa yang telah saya sampaikan tadi bahawa sebagai anggota jamaah sekurang - kurang kita mestilah bertolak dari 3 nokhtah utama :

1. al Fahm ad Daqiq - Faham yang mendalam berkait Islam yang diperjuangkan
2. al A'amil al mukhlis - Amilin yang ikhlas melaksanakan tugas / tanggungjawab
3. al A'amil al Multazim - Amilin yang komited dan istiqamah terhadap amal Islami .

3 nokhtah itu telah saya huraikan hampir satu jam bagi menegaskan tanggungjawab dan amanah yang mesti digalas oleh seorang pejuang . Mudah - mudahan mereka dapat mewaqafkan diri buat perjuangan ini di saat rata - rata manusia tidak lagi memperdulikan amanah mereka sebagai seorang muslim .

Selamat berjuang !

p/s: Sedihnya, muka saya terlindung di belakang Abang Haji Khairil, (^_^)

Rabu, Februari 18, 2009

Celoteh Malam Rabu



Salam Paka,

Warkah ini bermula dengan harapan para sahabat sahabiah sekalian dalam keadaan sihat sentiasa.

Akhir-akhir ini sungguh banyak peristiwa yang tidak terjangka berlaku. Kadang-kadang tidak terjangkau dek pemikiran kita dengan kucar kacir serta peristiwa pelik yang berlaku di negara kita. Dan, saya yakin ada juga orang yang menunggu apakah ulasan saya berhubung dengan senario politik terutamanya.

Kisah di Perak yang mencabul perlembagaan negara, Al-Fatihah di atas pemergian Allahyarham YB Ustaz Roslan Shahrum ke rahmatullah, peperangan baru di dua bukit, dan diskriminasi terhadap wanita yang cukup di kesali.

Sejak dulu saya telah nyatakan pendirian saya, pemimpin yang saya paling benci adalah Najib kerana dia sanggup lakukan apa sahaja untuk mencapai matlamatnya seperti Mahathir. Sebab itu pada pertengahan tahun lepas, saya sudah nyatakan, jangan desak Abdullah untuk letak jawatan sebab Najib yang akan menyusur itu sungguh menakutkan untuk diterima sebagai PM Malaysia yang ke-6.

Saya yakin ramai yang muak, mual, dan loya dengan apa yang berlaku sekarang dalam dunia politik. Bagi PAS, PAS tetap komited dengan dasarnya dan akan terus releven selagi Islam menjadi tunjangnya.

Coleteh ringkas pada malam ini tidaklah ingin untuk mengulas lanjut isu politik. Cukuplah para pembaca sekalian menghadamnya daripada sumber yang lain.

Cuma, saya merasa gembira hari ini kerana 8 biji tembikai kuning yang saya letak dalam tanah semasa Tahun Baru Cina telah menghasilkan pokok tembikai di halaman rumah saya. Benarlah firman Allah, apabila Allah ingin menjadikan sesuatu, Allah mampu lakukan dalam sekelip mata. Inilah kali pertama saya berjaya menanam buah tembikai seumur hidup saya.

Allahuakbar!

Rabu, Januari 21, 2009

Manisnya Perjuangan & Sehari Bersama Ustaz Nazrey Johani




Salam Kerteh,


“PAS menang ke? Tak sia-sia anak aku bertugas,” kata-kata mak saya setelah mengetahui kejayaan PAS memenangi Pilihan Raya Kecil P.036 Kuala Terengganu daripada ibu saudara saya.


“Bila dah menang tu, janganlah lupa tanggungjawab terhadap rakyat ye,” sambung mak lagi memesan kepada saya.


Mak menjadi tulang belakang dalam perjuangan saya. Walaupun dalam keadaan demam yang teruk, di melepaskan saya untuk berjuang di medan pilihan raya. Setiap kali saya keluar rumah, saya berdoa semoga mak juga mendapat pahala di atas keikhlasannya melepaskan saya bertugas, walaupun dalam keadaan memerlukan anak-anak menjaganya.


Walaupun saya agak keletihan, terpaksa berkejar membeli ubat, mee goreng dan makanan kepada mak saya, pada masa yang sama bergegas memberi risalah, bekerja di markaz dan merayu undi, sampaikan pada malam terakhir, airmata saya menitis kerana terlalu letih, gembira, hiba dan tertekan. Tetapi, ianya cukup manis. Saya sedih kerana fikirkan nasib rakyat di Palestin, saya hiba dengan kemenangan PAS, saya tertekan dengan kerja yang belum siap dan perlu bertolak dari rumah ke Kertih pada pukul enam keesokannya, dan saya menangis kerana keletihan melampau, juga kerana rasa bersalah pada mak.


Saya berdoa agar Allah memberkati perjuangan ini, juga mengharapkan Allah bersihkan hati ini dengan keikhlasan jiwa.



Antara kenangan yang paling manis di dalam perjalan pilihan raya kali ini adalah kenangan bersama ustaz Nazrey Johani sehari suntuk. Suka untuk saya rakamkan kisah ini supaya kalau saya sudah lupa nanti, boleh di baca semula kepada anak cucu nanti.


Perjalanan saya bersama saudara Afiq dan Ustaz Nazrey bermula dengan mengajak Ustaz makan tengah hari bersama-sama. Pertama kali bertemu, dia sangat ramah dan baik, juga tidak lokek untuk bercerita.


“Apa perasaan Ustaz kalau mendengar IKIM.fm tiba-tiba mendengar lagu Ustaz,” saya bertanya semasa dalam perjalanan untuk makan tengah hari. “Alhamdulillah, syukur.” “Ustaz tidak malu ke,” tambah kami lagi sambil tertawa. “Itu zaman dahulu kala,” balasnya sambil tertawa. Dalam setiap kata-kata beliau, selalu diselangi dengan tasbih, tahmid dan takbir kepada Allah s.w.t. Perwatakannaya seolah-olah seorang yang sangat ikhlas, kerana setiap tutur katanya selalu ditambah dengan, UNTUK ISLAM.


“Saya paling minat lagu Ustaz kenangan terindah,” menyatakan lagu yang paling saya minati. “Bila yang tertulis untukmu, adalah yang terbaik untukku,” Ustaz menanyi sambil ketawa. “Alamak, salah tajuk la Ustaz, kenangan indah la,hehehe,”bicara kami sambil menyusuri Jambatan Sultan Mahmud sambil mengimbas kembali kegemilangan Raihan sehinggkan tiada lagi artis yang dapat memecahkan rekod jualan album Puji-pujian dan Syukur setakat ini di Malaysia. Termasuk juga kegilaan kopiah dan baju Raihan.


Semasa makan tengah hari, Ustaz bercerita tentang dakwah dan Islam di Sabah beserta dengan keluarganya. Orang-orang di Sabah sangat memerlukan Islam, Cuma perlu ramai pendakwah untuk pergi ke sana, sambil bersaing dengan gerakan Kristianisasi.


Semasa dalam perjalanan pulang, kami bercerita perihal beliau yang keluar daripada Raihan. Kerana sasaran beliau untuk berdakwah melebihi bernasyid, dia korbankan karier beliau sebagai penghibur kepada seorang pendakwah bebas dengan membawa elemen nasyid.


“Mencari rezeki dengan mencari keburukan orang…” apabila sampai kepada perihal orang-orang melodi atau pencari gossip yang memburukkan orang, beliau tidak mampu meneruskan kata-kata sambil sebak mengingatkan nasib rezeki yang keji yang diperolehi orang-orang tersebut dan diberi makan kepada isteri dan anak-anak.


Kami alihkan perbualan kepada perihal Tuan Guru Haji Abdul Hadi memilih calon, beliau sekali lagi memuji Allah serta memuji dan menghormati para ulamak yang di berikan ilham oleh Allah serta komited dalam perjuangan.


Setelah berehat sekejap pada waktu petang, kami sekali lagi memulakan perjalanan untuk ke majlis persediaan persembahan di Wakaf Mempelam. “Macam mana Ustaz mendapat tahu bahawa Ustaz boleh menyanyi?” Ustaz tertawa lagi sambil mengatakan tidak pernah ada orang terfikir untuk bertanya soalan sebegini. Akan tetapi, mungkin dah rezeki, sebab itulah beliau boleh menjadi seorang insan seni.


Semasa proses persediaan lagu pada waktu petang, kami sempat menyanyikan lagu Isteri Solehah dan Kenangan Indah bersama-sama.


Pada waktu malam, persembahan pun bermula, Ustaz Nazrey dan Ustaz Azhan bergilir-gilir menghiburkan tetamu, yang juga dihadiri YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut.


Selepas makan, kami sempat makan-makan tomyan ikan dan teh ‘o’ madu. Kata Ustaz nazrey, ini petua untuk suara sedap. Beliau menyatakan, kalau mengamalkan minum madu sebelum tidur, insyaAllah suara akan sedap untuk mengaji Al-Quran selepas seminggu.


Berikut adalah petua Ustaz untuk menyedapkan suara.

  1. Menyanyi hendaklah menghayati lirik, bukan buat-buat suara.
  2. Jauhi makanan berminyak
  3. Minum teh ‘o’ beserta madu sebelum tidur. Kalau nak teh asli, cuba minum teh kotak hijau dari Sabah.
  4. Boleh ‘kirim salam’ pada air sejuk.

Sesungguhnya, pengalaman sehari dengan Ustaz memang suatu ‘kenangan indah’. Beliau bersifat seperti seorang ayah yang sangat baik, juga sangat profesional. Sebelum beliau meninggalkan kami, beliau hadiahkan cakera padat, Memoir of The Zikr, ‘master copy before recording’ kepada kami beserta tandatangan beliau. Kepada para sahabat, jangan lupa untuk beli cakera padat beliau, banyak lagu yang sedap-sedap.



InsyaAllah, kalau ada umur yang panjang, saya berharap dapat jumpa beliau lagi. Saya merasakan seolah-olah mempunyai kasih sayang seorang ayah semasa bersama beliau.

Rabu, Disember 31, 2008

Perjuangan bukan milik orang Kuala Terengganu sahaja


Salam Kertih,

Gendang peperangan sudah di palu. 1 Januari 2008 calon Parti Islam Malaysia akan diumumkan. Sesiapa pun yang diletakkan sebagai calon, itu bukanlah isunya. Kerana kita adalah parti Allah, parti yang memperjuangkan agama Allah. Kita tidak berjuang atas nama calon, kemenangan kita bukan kemenangan individu, kemenangan kita adalah kejayaan Islam.

Satu wakil yang kita hantar ke Parlimen, segala apa yang dituturkannya, amal ma’ruf nahi mungkar, bahasnya, ucapannya, perjuangannya adalah pahala. Saya bersyukur TG Haji Abdul Hadi Awang menjadi calon di tempat saya kerana setiap tindak tanduknya yang ikhlas akan membuahkan pahala kepada orang yang membawanya ke Parlimen.

Kini tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk mendapat pahala yang besar iaitu jihad. Islam tidak memerlukan kita untuk menang, tapi kita perlukan Islam untuk mendapat pahala jihad yang besar itu. Platform ini bukanlah untuk penduduk Kuala Terengganu sahaja untuk memangkah undi, tetapi peluang untuk seluruh rakyat Malaysia menambah pahala, tidak kisahlah dari segi harta benda, jiwa dan doa sekalipun. Segala tohmahan yang diterima adalah pahala. Setiap susah payah adalah pahala. Setiap titik peluh adalah pahala. Asalkan semuanya bertunjangkan keikhlasan untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.

Saudara kita di Palestin mendapat peluang untuk berjihad secara intifada. Alangkah beruntungnnya saudara kita di sana memperoleh peluang untuk berperang berjihad dan mati syahid. Kita di Malaysia, ada juga yang kononnya ingin berperang. Tetapi kita mesti ingat. Majoriti daripada kita adalah orang melayu. Orang melayu ini adalah bangsa yang senang di jajah. Bukan kata ingin mengankat senapang, mahu keluar bawa obor parti Islam sudah takut di senaraikan hitamkan oleh JKKK untuk mendapat cop untuk anak daftar ke sekolah kerajaan. Sejarah orang melayu tidak pernah berperang, Hang Tuah bersaudara hanyalah mitos. Pendek kata, perjuangkan Islam melalui peti undi dahulu, barulah berbicara untuk berperang mengangkat senjata.

Kepada sahabat-sahabat sekalian, diharapkan saudara sekalian dapat menyumbangkan sedikit sebanyak kepada jihad ini. Jihad yang paling besar adalah menentang pemimpin yang zalim dan ini adalah daripada hadis sahih. Paling tidak, doakanlah kemenangan P036 parlimen Kuala Terengganu untuk parti Allah, Parti Islam Semalaysia – PAS.

Khamis, Disember 11, 2008

Buatlah sesuatu dengan bersungguh



Salam Kertih,

Hari ini hari terakhir minggu kedua saya di MMC Oil & Gas Engineering. Sepanjang dua minggu saya di sini, boleh saya katakan saya agak gembira, walaupun di saat-saat akhir saya menolak tawaran BJ Services. Memang dari segi gaji jauh berbeza, tetapi bagi saya, rezeki sangat subjektif. Duit di mana-mana boleh dicari, tetapi pengalaman sangat susah diperolehi.

Pengalaman? Betul, pengalaman berkerja untuk jemaah untuk menghasilkan kader-kader yang kompeten. Hidup hanya sekali, pilihlah yang terbaik untuk agama.

Kenapa Paka? Entah la, bagi saya Paka sesuai dengan diri saya buat masa sekarang. Orang lain, dia ada minat dia tersendiri. Tolong jangan jadikan perkara ini isu, cuma pilihan peribadi. Esok lusa, saya tak tahu apa yang saya buat dan di manakah saya akan pergi. Cuma, sangat sangat gembira apabila di sini kerana saya selalu dapat minum-minum dan sembang-sembang dengan para sahabat.

Master? Saya pun tidak pasti. Walaupun dapat tawaran dari New South Wales University dan University of Adelaide, saya masih takut. Krisis ekonomi tahun 1997 menyebabkan ramai pelajar Malaysia dihantar pulang. Sedangkan krisis ekonomi tahun 2008 lagi teruk. Cuma Datuk Seri Najib Razak menafikannya.

Kerja? Saya memang minat reka bentuk. Untuk projek akhir tahun, saya buat reka bentuk juga. MMC juga lebih kepada teknikal seperti rekabentuk, spesifikasi, dan teori. Buat masa sekarang, saya rasa mampu untuk membangunkan diri sendiri dalam bidang ni. Yang penting, saya mencedok sebanyak mungkin ilmu di dalam bidang ini. Seperti tajuk yang saya tulis, buatlah sesuatu lapangan dengan bersungguh-sungguh.

Sebab itu kalau orang membaca blog saya, saya bersungguh-sungguh menaip dalam Bahasa Melayu, walaupun sangat susah sebenarnya. Bagi saya, saya memang sejak dahulu lagi menentang pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Bangsa Turki, Jepun, Perancis, Itali, Belanda, Jerman dan negara-negara Scandinavia, semuanya menggunakan bahasa mereka sendiri. Mereka sangat maju. Kenapa? Kerana bahasa menggalakkan percambahan fikiran. Meluaskan daya kreativiti dan inovatif.

Semua nak beritahu ke? Saya ini seorang yang suka membaca, berjalan-jalan, menulis, dan memberitahu. Ini memang sifat semulajadi saya. Sebab itu saya ingin sangat pergi ke Timur Tengah, Eropah atau Australiasia. Kerana saya suka semua perkara tersebut.

Kamu ni kapal terbang pun tak pernah naik. Saya kadang-kadang mahu tergelak fikirkan hal ini. Mungkin masih bukan rezeki saya. Tapi Allah maha Adil. Dia mengetahui apa yang terbaik untuk saya buat masa sekarang.

Setiap hari aku mensyukuri pemberian mu ya Allah.

Selasa, November 25, 2008

Pilihan adalah dugaan beserta hikmah

Adik-adik Gunung Semanggol yang comel

Salam Bukit Payong,


Minggu ni sudah masuk dua minggu saya di rumah.


“Saya mahu letak jawatan”, ungkapan saya hari ketiga di Kencana, Lumut.


Kerja enam hari seminggu, budaya kerja yang ketat, tiada perjalanan keluar, adalah faktor-faktor yang menyebabkan saya meletak jawatan.

Ini bukan perkara yang saya mahukan. Saya pun pulang ke kampung.


“Congratulation, your interview has been successful”, saya berjaya untuk temuduga Scomi Group untuk ‘Management Trainee’ selama 18 bulan.


Tapi, saya di kehendaki untuk datang ke Kuala Lumpur sekali lagi untuk ujian IQ termasuk sesi bersama Timbalan Ketua Tenaga Kerja. Ini tapisan kali ketiga. Selepas ‘walk-in’ temuduga, diikuti temuduga. Kenapa perlu lagi tapisan buat kali ketiga? Kalau saya menetap di Lembah Kelang, datang sepuluh kali pun boleh. Saya buat keputusan untuk tidak datang ke tapisan kali ketiga ini.


“Boleh awak datang untuk temuduga di BJ Services di Pengkalan Bekalan Kemaman?

Sekali lagi saya pening. Saya minat atau tidak kerja untuk petroleum industri ni? Lebih-lebih lagi ini adalah syarikat servis, yang memerlukan kerahan tenaga.


“Encik Ahmad Khairuddin ada minta ‘fellowship’ untuk menjadi lecturer di UMP kan?, boleh tak datang ke UMP untuk berbincang lanjut”, tawaran untuk membuat sarjana beserta PhD sama ada di universiti tempatan atau luar negara supaya menjadi pensyarah di UMP.


“Pihak Kerteh sudah meluluskan permohonan, Cuma kami masih memerlukan pengesahan dari MMC Oil and Gas di Kuala Lumpur,” jawab En Nazar tentang status permohonan saya untuk menjadi Jurutera Mekanikal di syarikat jururunding milik Tan Sri Syed Bukhari ini. Yang paling suka pasal syarikat ini adalah, cuti tahunan yang banyak, 24 hari.


Saya sebenarnya hampir keliru apa yang patut saya buat. Mujurlah saya ada juru runding yang bercerita tentang kisah anak murid dengan gurunya, yang saya rasa amat sesuai dengan kisah saya.


Seorang cikgu menyuruh murid-muridnya berjalan-jalan di suatu padang


Apabila berjumpa pokok, lalang atau tumbuhan yang paling cantik, dia kene bawa balik untuk cikgu dia.


Tapi ada seorang murid ni dia telah menjumpai satu pokok yg cantik


Tapi dia takut akan menjumpai bunga yang lagi cantik


Oleh itu, dia tidak petik bunga tadi.


Kemudian, dia berjalan lagi dan berjumpa lagi


Tapi dia tidak memetik lagi dan berharap dapat menjumpai yang lagi baik


Tetapi, apabila sudah sampai ke hujung padang, dia tidak memetik apa-apa pun dan menyesal kerana cikgu dia cakap, ‘NO GOING BACK’


Maknanya,


Dalam hidup ini, kita selalu mahukan sesuatu yang baik.


Tetapi, kite ragu-ragu sama ada kite akan menjumpai yang lebih baik dan tidak memperdulikan benda baik yang sudah ada di depan mata.


Sampaikan kita kadang-kadang terlepas sesuatu yang berharga


Pengajarannya,


Ambillah peluang selagi kita masih mempunyai kesempatan ke atasnya.


Tetapi, apa yang saya mahukan dalam hidup sebenarnya? Cuma saya yang tahu jawapannya. Bak kata Ustaz Hasrizal,


IKUTLAH FATWA HATI, KERANA HATI INI SENANG DENGAN KEBAIKAN, RESAH DENGAN MAKSIAT.


p/s: Tuan punya cerita dah paparkan cerita ini dalam blognya terlebih awal =P

Isnin, November 17, 2008

Konflik Identiti


Selamat Hari Lahir untuk diri sendiri dan adik-adik \(^_^)/

Salam Bukit Payong,


Kisah menarik berlaku lagi.


Saya tak sangka, kedatangan saya ke majlis jamuan hari lahir saya di kampus di sambut dengan adik-adik yang begitu komited. Bukan sahaja terdapat nasi ayam, air oren dan buah-buahan, ‘secret recipe’ juga terhidang. Tidak cukup dengan itu, siap dapat jam tangan dengan bola kristal macam cerita ‘My Girl’ =P.


Sebab itu kalau orang tanya, saya cakap mahu buat ‘master’. Saya memang tidak suka bekerja sebagai jurutera. Sebab saya suka bercakap, maklumlah cita-cita mahu jadi pensyarah atau doktor sahaja [walau sudah tiada harapan lagi]. Tetapi, mungkin saya belum dibebankan dengan tanggungjawab, sebab itu tidak kesah walau tidak bekerja betul-betul.


Saya pergi untuk temuduga untuk ‘master’ baru-baru ini. Tak sangka pula terlanggar kereta Perdana. Esok mahu balik kampung. Terpaksa saya bayar RM 199 [baru lepas minum teh ais, RM 1] sebab itu saja duit ada dalam poket. Alhamdulillah tuan kereta baik, kalau di ikutkan, bengkel mahu RM300.


Baru saya terfikir kembali, memang duit bukan segala-galanya, tetapi dunia sekarang memerlukan duit. Sebab itu, mahu atau tidak mahu, suka atau tidak suka, ekonomi sangat penting kepada diri dan juga jemaah. Kerana tanpa duit, macam mana boleh ‘survive’.


Wallahu’alam.


p/s: Mungkin saya masih mengalami konflik identiti, huhu =P

Khamis, Oktober 30, 2008

Antara idealistik dan realiti


Salam dari Ampang,

Ini mungkin artikel aku yang terakhir di Kuala Lumpur ini. Rasa bersyukur bergaul dengan rasa takut, kepada Allah ku serahkan segala-galanya.

[Izinkan kali ini saya mem'bahasa'kan diri menggunakan aku]

Sejarah hidup memang perit, tapi ia cukup mematangkan aku apa erti kehidupan yang sebenar. Aku sangkakan perjuangan itu manis di sini, tapi merupakan barah dalam hidupku.

"Awak mahu tolak 'offer' kat sini?, betul ke?" tanya si 'receptionist' kepada aku semasa menolak kerja di Subang, PECD Berhad. Memang dari segi gaji, syarikat itu tawarkan lagi tinggi dari kerja sekarang, tetapi kerana perjuangan di Pandan yang aku pilih, aku tolak dan menerima tawaran di Ampang, Eigen Matrix Sdn Bhd.

Pada mulanya, aku sangkakan suasana di sini agak baik, nak komited dengan jemaah pun senang, rupa-rupanya aku terperangkap antara realiti dan idealistik. Cukup berbeza semasa aku belajar dahulu.

Bukan sahaja mempunyai masalah dengan majikan yang mempunyai kuasa veto terhadap syarikat, aku tersepit di antara rakan-rakan yang selalu bebicara dunia lebih daripada perjuangan.

Bukan ingin mengeruhkan ukhwah sesama ahli jemaah, tetapi cukuplah sekadar bacaan para sahabat sekalian, kalau artikel ini menyedarkan, Alhamdulillah. Tapi kalau menimbulkan kontroversi, aku lagi bersyukur kerana suara yang aku ingin sampai terlaksana jua.

Pernah satu ketika usrah bersama Ustaz Ramadan, beliau pernah menyebut, "Sanggupkah suatu hari nanti kita berhenti kerja,'challenge our comfort zone', terpaksa bertanding atas tiket jemaah?" Aku yakin, dari segi sekarang, tiada yang sanggup.

Dulu bersama sahabat selalu berbicara pasal perjuangan, ingin menubuhkan Pasti atau sekolah, tetapi sekarang cuma bebicara pasal kereta, rumah, kredit kad,elaun dan 'claim'. Dulu duit sanggup habis untuk disumbang untuk jemaah, sekarang duit untuk di timbun-timbun.

TG Nik Abdul Aziz pernah bercerita,"Orang warak ni, tak sanggup makan kat kedai, takut orang yang kurang berkemampuan tengok juadah makanan sedangkan dia tidak mampu untuk membeli makanan tersebut".Cukup halus akhlak menjaga perasaan orang lain. Tapi, sekarang masing-masing berbangga akan dapat itu,ini dan bal,bla,bla...

"Berjuang memang pahit, kerana syurga itu manis", lagu yang selalu kita dengar dalam Sunnah Berjuang. Tapi sekarang ni sudah jadi lain ,hanyut dalam kemewahan.

Yang paling malang, dulu qiam memang selalu, nak tinggal pun susah, dan terus ke masjid untuk subuh, sekarang, bangun pagi untuk ke tempat kerja. Subuh berjemaah, lagi lah susah.

Dulu, ujian bertimpa-timpa, tanda Allah kasih kepada hambaNya, sekarang benda kecil pun sudah tak mampu nak uruskan, hanyut dalam dunia, tidak menjaga Allah lagi rupanya.

Artikel ini, memang sedikit retorik, tapi tak mustahil adalah realiti. Aku bersyukur kerana dipermudahkan oleh Allah keluar dari dunia elit, yang hanya akan meleburkan aku, perjuangan ku, prinsip ku.

Semoga Allah memberkati perjuangan kita ini, keluar dari dunia idealistik ke dunia realiti.

p/s:

1) Harakah adalah akhbar rasmi jemaah. Tolong beli setiap isnin dan jumaat kerana amat malang bagi ahli jemaah yang tidak tahu apa yang jemaah lakukan. Secara tak langsung menyumbang kepada ekonomi jemaah.

2) Seumur hidup aku tidak pernah memusuhi Islam, tetapi aku selalu menjadi mangsa keadaan. Jangan bercakap sesuatu perkara yang kita tidak tahu kejadiaan sebenar, sebab kelak akan mengundang masalah yang lebih besar.

3) Yang paling menyakitkan, aku selalu menajadi mangsa dengki manusia.

4) Tolong baca semula artikel ini.